JUN 2025

Premier Sarawak Tinjau Jambatan Limbang, Umum Rancangan Pembangunan Bandar Limbang


LIMBANG, 14 Jun - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg hari ini meninjau perkembangan pembinaan Jambatan Limbang dan berkongsi rancangan pembangunan menyeluruh untuk bandar Limbang, termasuk melawat Muzium Pembangunan Limbang.

Bercakap kepada wartawan selepas lawatan di Limbang, beliau menyatakan bahawa pelaksanaan projek jambatan tersebut amat memuaskan dan dijangka siap dalam masa enam bulan akan datang.

“Saya telah diberi taklimat bahawa jambatan ini, dengan reka bentuk cable stay-nya, mungkin boleh siap pada hujung tahun ini iaitu dalam masa enam bulan akan datang. Ini bermakna bahawa kalau siap pada Disember, kemungkinan ia dapat digunakan pada bulan April 2026,” katanya.

Menurut beliau, jambatan ini akan meningkatkan perjalanan dari Limbang ke sempadan Brunei Darussalam dan seterusnya merangsang hubungan dagang yang sedia terjalin antara kedua-dua wilayah.

“Sekarang ini kita mempunyai hubungan perdagangan yang baik antara Sarawak dan Brunei Darussalam dengan adanya pejabat startup di Brunei. Apabila jambatan ini siap, ia akan menjadi satu kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Brunei Darussalam,” ujarnya.

Beliau turut menjangkakan jambatan ini akan memberi impak besar kepada sektor pelancongan di utara negeri.

“Dengan adanya jambatan ini, kita jangkakan dari Bandar Seri Begawan ke Limbang hanya memakan masa sekitar 30 minit. Ini akan menjadi perjalanan yang agak singkat dan membuka peluang pelancongan dari Brunei masuk ke Sarawak,” jelas beliau.

Premier juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk mencantikkan dan membangunkan bandar Limbang menerusi pelaksanaan pelan induk khas.

“Apabila pelan induk yang kita rancang untuk Limbang ini kita laksanakan, saya rasa Limbang ini senang dibangun. Dari sudut kos tidak begitu tinggi, pampasan pun tak banyak. Jadi kita akan bangunkan kawasan ini dengan teratur,” katanya.

Beliau menambah, bandar Limbang mempunyai waterfront terpanjang di Sarawak dan akan dibangunkan sebagai tarikan utama pelancongan.

“Kalau dah siap waterfront ini, kita akan bangunkan lagi kawasan sekeliling bandar Limbang dan ini akan menjadi tarikan utama di utara Sarawak. Kita boleh bekerjasama dengan Air Borneo dan Royal Brunei untuk membawa para pelancong,” jelas beliau.

Terdahu dalam lawatannya ke Muzium Pembangunan Limbang, Premier menyatakan banyak maklumat sejarah yang telah dipamerkan namun mencadangkan beberapa penambahbaikan.

“Saya rasa banyak maklumat-maklumat yang penting dari mula sejarah sampai ke hari ini. Tadi saya telah cadangkan supaya video pembangunan ini kita tambah. Kita mesti ada gambaran seamless mobility yang kita bayangkan di antara Lawas dan Limbang,” katanya.

Menurut beliau lagi, kawasan sekitar muzium turut akan dibangunkan dengan pembinaan pejabat kerajaan dan hotel bertaraf tiga bintang, selain sambungan lebuh raya pesisir ke Lawas.

“Kita akan mempunyai hotel tiga bintang di sebelah muzium, dan ia akan berhubung dengan Lawas melalui dual carriageway. Inilah yang saya maksudkan dengan seamless mobility, lengkap dengan landskap yang menarik di utara Sarawak,” tambah beliau.